TATAU, 26 Dis: Lelaki nyaris rentung susulan lori 10 tan dipandunya terbakar di simpang Setiam, Jalan Bintulu-Tatau di sini pagi tadi.
Dalam kejadian 8.40 pagi itu, pemandu berusia 29 tahun terbabit sempat menyelamatkan diri selepas menyedari kepulan asap hitam keluar dari bahagian hadapan enjin lori.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau, Jankey Jikat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.47 pagi.
Menurutnya, sepasukan tujuh anggota dari BBP Tatau dikerah ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera dan kenderaan Utiliti Bomba.
“Setibanya di lokasi, Komander Operasi mendapati kebakaran melibatkan sebuah lori yang sedang dalam perjalanan dari Bintulu ke Tatau terbakar 80 peratus di bahagian hadapan lori.
“Pemandu lori berjaya keluar menyelamatkan diri, tiada melibatkan kecederaan mangsa dan kemalangan jiwa,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Katanya, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) terus menjalankan operasi pemadaman hingga api terkawal.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.15 pagi dan kerja-kerja overhaul dijalankan untuk memastikan tiada lagi punca-punca api di tempat kejadian dan padam sepenuhnya pada jam 9.23 pagi,” ujarnya.
Katanya, setakat ini punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Operasi ditamatkan pada jam 9.23 pagi. – TVS