BINTANGOR, 25 Dis: Sekumpulan belia dari rumah panjang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop mengambil inisiatif mengadakan kunjungan muhibah sempena Hari Krismas.
Program itu merupakan sebahagian inisiatif untuk menarik golongan muda menyertai aktiviti lebih sihat selain menyemarakkan lagi sambutan Krismas.
Aktiviti selama dua hari disertai seramai 60 orang peserta yang menyasarkan 19 rumah panjang.
Antara destinasi persinggahan termasuk gereja di Sungai Kelai, Bakerkong dan Berangan selain ke Dewan Teluk Gelam dan Pusat Sumber Mupong Tengah.
Rumah panjang yang dilawati termasuklah di Sungai Selidap, Sungai Sian dan Muara Bunut.
Program dimeriahkan lagi dengan penyertaan belia daripada Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Semop.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Ukas), Datuk Abdullah Saidol ketika dihubungi menyambut baik usaha murni berkenaan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkata, program itu merupakan platform terbaik untuk memupuk kemesraan masyarakat pelbagai kaum.
“Ketika mereka singgah di setiap rumah panjang, belia yang berpakaian Santa Klaus akan memberi hadiah iaitu gula-gula dan coklat kepada kanak-kanak.
“Pada masa yang sama, ketua rombongan menyampaikan hadiah pokok Krismas dan lampu klip-klip kepada tuai rumah.
“Walaupun program ini berlangsung sederhana, bagi saya aktiviti yang sangat bermakna,” katanya. -TVS