KUCHING, 24 Dis: Rakyat Sarawak harus terus mengeratkan silaturrahim sesama insan serta saling bantu- membantu golongan yang memerlukan ketika perayaan Krismas tahun ini, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Menerusi perutusannya hari ini, Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak turut meminta rakyat pelbagai peringkat umur kekal bersatu padu dan saling bekerjasama bagi memajukan Sarawak menjadi sebuah negeri yang aman dan makmur.
“Semasa kita meraikan perpaduan dalam kepelbagaian, jangan lupa kepada mereka yang memerlukan dan teruskan semangat kunjung-mengunjung bagi mengeratkan silaturrahim.
“Saya juga berharap tahun baharu yang akan menjelang, kita akan terus kekal bersatu padu dan bekerjasama supaya Sarawak terus maju, aman dan makmur,” katanya.
Beliau mengucapkan ‘Merry Christmas’ dan Selamat Tahun Baru 2024 buat semua yang menyambutnya khususnya kepada rakyat Sarawak. – TVS