KOTA SAMARAHAN, 20 Dis: Bekalan barangan keperluan dijamin mencukupi menjelang sambutan Hari Krismas minggu depan.
Tinjauan TVS di sini mendapati tidak berlaku masalah kekurangan bekalan barangan basah serta barangan kering.
Penyelia Pasar Raya Elli, Roshalina Awang berkata, premisnya setakat ini tidak menghadapi kekurangan stok barangan tertentu.
Namun katanya, pembelian menjelang perayaan utama di Sarawak ini tidak seperti tahun sebelumnya ekoran peningkatan harga bagi barang tertentu.
“Bekalan daging sentiasa ada, buat masa sekarang, harga juga dalam kawalan.
” (Namun) ada barang yang naik harga tetapi bukan semua. Ayam, telur dan gula masih dijual pada harga yang sama,” katanya.
Bagi peniaga ayam, Awin Mahidi, stok bekalan dihantar setiap hari menjelang Krismas.
“Ramai pelanggan sudah mula membeli ayam untuk menyambut Hari Krismas. Dalam dua tiga hari lagi, pastinya akan lebih ramai pelanggan,” katanya.
Penyelia di Pasar Raya Lepapa, Masidi Toni pula memberitahu, pihaknya sentiasa memastikan bekalan barangan basah dan kering seperti cili dan bawang sentiasa mencukupi.
“Harga yang ditawarkan sama malah ada beberapa barangan yang diberikan diskaun.
“Saya berharap orang ramai datang awal untuk membeli barangan bagi mengelakkan suasana sesak pada saat akhir menjelang Hari Krismas,” katanya. -TVS