KUCHING — Kebenaran bagi kedai buku dan alat tulis untuk beroperasi merupakan antara penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan di Sarawak susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan semalam berkata tempoh operasi kedai berkenaan adalah mengikut syarat yang ditetapkan untuk sektor perkhidmatan, ekonomi, industri dan aktiviti-aktiviti lain yang dibenarkan semasa PKP.
Selain itu, waktu operasi premis yang menjual makanan adalah antara 6.00 pagi dan 10 malam manakala individu atau kumpulan individu tidak dibenarkan berada di kawasan awam antara pukul 12.01 pagi dan 5.00 pagi tanpa alasan yang munasabah.