MIRI, 16 Dis: Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Cawangan Miri memohon supaya sebuah kampung Bidayuh dapat diiktiraf di Miri memandangkan kaum itu merupakan antara komunti yang datang berpindah dan bekerja di Miri semasa ia masih berstatus bandar kecil dahulu.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil berkata, kini kebanyakan mereka membuat keputusan untuk menetap di daerah berkenaan dan melihat sebagai satu perkembangan yang bagus untuk komuniti Bidayuh mempunyai kampung Bidayuh pertama diiktiraf di Miri.
“Sekarang saya mendengar anda memohon sebuah kampung untuk diiktiraf dengan ketua kampung dan ketua masyarakat anda sendiri, ini merupakan perkembangan yang baik.
“Saya gembira kerana Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang berada di sini kerana beliau perlu mengiktiraf sebuah perkampungan Bidayuh. Kita tidak pernah mendengar tentang perkampungan Bidayuh, tetapi ini adalah kali pertama idea perkampungan Bidayuh dan ia sangat unik kerana apa yang telah anda lakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Makan Malam Tahunan 2023 anjuran DBNA Miri di sini, malam tadi.
Tambahnya, permohonan itu juga akan dibawa kepada pihak autoriti berkaitan supaya kampung tersebut dapat diwartakan sebagai kampung Bidayuh di Miri dengan ketua kampung dan komunitinya sendiri.
“Anda telah memutuskan anda ingin mempunyai identiti, kesan dan memainkan peranan yang sama di Miri, itu sangat penting.
“Oleh itu, anda juga telah membuat keputusan untuk bersama-sama membina kampung. Kita berharap dengan masa berlalu, kampung itu akan diwartakan sebagai kampung Bidayuh dengan ketua kampung dan komunitinya sendiri.
“Kita akan memajukan ini kepada pihak berkuasa berkaitan, tetapi kita juga gembira kerana Datuk Bandar ada di sini. Dia mungkin akan membawa beberapa idea untuk masyarakat Bidayuh juga,” ujarnya.
Beliau juga mengingatkan kepada kaum Bidayuh untuk tidak lupa asal-usul mereka selain bahasa dan budaya mereka sebagai legasi mereka untuk dibawa kepada generasi masa hadapan yang kemudiannya akan membentuk komuniti progresif.
Jerip turut menyampaikan geran berjumlah RM30,000 kepada DBNA untuk kegunaan mereka melaksanakan aktiviti dan program yang dapat memberi manfaat kepada komuniti Bidayuh pada masa akan datang. – TVS