KUCHING, 15 Dis: Rang Undang-undang Lembaga Pelabuhan Tunggal dijangka dibentang pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak pada Mei 2024.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata ia merupakan antara lapan sasaran Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) untuk dicapai pada tahun hadapan.
“Turut menjadi keutamaan ialah rundingan mengenai syarat penyerahan Pelabuhan Bintulu yang akan diselesaikan menjelang Julai.
“Kemudian kita perlu menyediakan mekanisme dan penggabungan kesemua lima pihak berkuasa pelabuhan – Miri, Samalaju, Rajang, Tanjung Manis dan Kuching,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Penghargaan dan Pra Krismas MIPD di sini, malam tadi.
Hadir sama, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Aidel Lariwoo.
Selain itu, MIPD turut menyasarkan untuk mencapai sifar projek sakit dan prestasi perbelanjaan kewangan seratus peratus.
Tidak kurang penting ialah meningkatkan sistem pelaksanaan dan pemantauan kementeriannya yang bertujuan memastikan projek pembangunan disiapkan dengan lebih sempurna.
“Kita berharap dapat melibatkan lebih ramai profesional selain meningkatkan kapasiti kakitangan sedia ada dalam meningkatkan modal insan.
“Akhir sekali, kami ingin melaksanakan analisis laluan kritikal untuk meningkatkan kecekapan keseluruhan kami dan meningkatkan produktiviti,” katanya.
Sehubungan itu, beliau yakin kakitangan MIPD memiliki semangat kerjasama dan komitmen yang tinggi dalam memastikan sasaran ini mampu dicapai.
“Kita memiliki kombinasi terbaik merangkumi bakat, kemahiran dan sikap yang menjurus ke arah prestasi cemerlang,” katanya. – TVS