PUTRAJAYA, 14 Dis: Skim Perubatan MADANI telah merekodkan lebih 1 juta rawatan pesakit bagi rawatan sakit-sakit ringan percuma di klinik swasta yang berdaftar sejak skim ini diperkenalkan pada 15 Jun 2023.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata sehingga 14 Disember ini, 1,005,645 rawatan sakit-sakit ringan telah diberikan kepada 785,623 pesakit melalui 2,506 klinik swasta.
Ia membabitkan jumlah perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM62.5 juta.
“Skim ini ditawarkan secara automatik kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah dengan membantu menampung kos rawatan sakit-sakit ringan di klinik swasta yang berdekatan tanpa sebarang caj,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Skim berkenaan adalah satu inisiatif Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan bagi menampung keperluan kesihatan golongan B40.
Kerajaan menunjukkan komitmen berterusan terhadap skim ini dengan memberi peruntukan sebanyak RM100 juta dalam Belanjawan 2024 agar Skim ini dapat diteruskan pada tahun hadapan, katanya.
“Kementerian Kesihatan dan ProtectHealth akan terus komited memantapkan gerak kerja dalam meningkatkan penglibatan klinik-klinik swasta di seluruh negara bagi memperluas akses kumpulan berpendapatan rendah kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti,” katanya.
Semakan kelayakan dan carian klinik swasta boleh didapati melalui laman web ProtectHealth, aplikasi ‘Skim Perubatan MADANI’ dan MySejahtera. Layari www.protecthealth.com.my untuk maklumat lanjut. – TVS