Selaras dengan komitmen Kerajaan untuk meneruskan agenda prihatin rakyat. Kerajaan akan menyalurkan Bantuan Tunai langsung kepada rakyat berjumlah 10 bilion ringgit. Bantuan Tunai langsung ini akan merangkumi tiga bantuan tunai.
Pertama, Bantuan Prihatin Rakyat atau BPR. Semasa pengumuman PEMERKASA Tambahan yang lepas, Kerajaan bersetuju untuk memberi bayaran tambahan bagi BPR sehingga 500 ringgit pada bulan Julai dan bayarannya akan dibuat secara berperingkat mulai esok, 29 Jun.
Manakala BPR fasa ketiga dengan kadar bantuan antara 100 hingga 1,400 ringgit akan dibayar pada bulan September nanti. Bulan September juga akan melibatkan bayaran ke atas kes- kes lulus rayuan BPR.
Secara keseluruhannya, nilai BPR sehingga hujung tahun adalah 4.9 bilion ringgit.
Kedua, bagi memastikan rakyat mendapat bantuan pada bulan-bulan mendatang sehingga akhir tahun 2021, pemberian Bantuan Khas COVID-19 atau BKC dengan kadar dan kategori seperti berikut:
Pertama, isi rumah kategori miskin tegar bakal menerima bantuan sebanyak 500 ringgit pada bulan Ogos, 500 ringgit pada bulan November, dan 300 ringgit pada bulan Disember.
Manakala individu bujang kategori miskin tegar akan menerima bantuan sebanyak 200 ringgit pada bulan Ogos dan 300 ringgit pada bulan November;
Kedua, isi rumah kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak 500 ringgit pada bulan Ogos dan 300 ringgit pada bulan Disember.
Manakala bujang kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak 200 ringgit pada bulan Ogos.
Ketiga, isi rumah kategori M40 turut menikmati bantuan sebanyak 250 ringgit, manakala bujang kategori M40 akan menerima 100 ringgit pada bulan Ogos nanti.
Secara keseluruhan, pemberian khas BKC ini dijangka memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang dengan peruntukan sebanyak 4.6 bilion ringgit.
Ketiga ialah Bantuan Kehilangan Pendapatan. Pada bulan Oktober nanti, sebanyak 500 ringgit akan disalurkan kepada pekerja yang kehilangan pendapatan berdasarkan data KWSP atau PERKESO dalam tahun 2021.
Bantuan ini dijangka memanfaatkan sehingga 1 juta ahli yang melibatkan implikasi kewangan 500 juta ringgit.
Dengan ketiga-tiga bantuan tunai ini, bagi setiap bulan bermula Jun sehingga Disember tahun ini, golongan yang memerlukan akan mendapat bantuan yang sewajarnya.