KUCHING, 14 Dis: Sebanyak 18 kes rabies dalam kalangan manusia termasuk 16 kes kematian dilaporkan di Sarawak dari 1 Januari sehingga 13 Disember ini.
Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr. Ooi Choo Huck berkata, ia menjadikan jumlah kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak, sejak wabak diisytiharkan pada Julai 2017 sebanyak 73 kes dengan 66 kematian.
“Daripada 18 kes yang dilaporkan tahun ini, lima kes adalah dari Sibu, empat kes dari Serian, empat kes dari Kuching, tiga kes dari Bintulu dan dua kes dari Samarahan.
“Terdapat peningkatan kes berbanding hanya 14 kes bagi tempoh sama pada 2022 iaitu peningkatan sebanyak empat kes atau 28.6 peratus,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Menurut beliau, kes kematian terbaharu melibatkan seorang perempuan berumur 44 tahun yang mula bergejala pada 28 November dan meninggal dunia pada 12 Disember di Kuching.
“Sampel klinikal yang diuji telah mengesahkan kes dijangkiti rabies. Kes ini mempunyai enam ekor kucing peliharaan yang bebas bercampur dengan haiwan liar dan kesemua kucing peliharaan ini tidak pernah diberi vaksinasi rabies.
“Seekor kucing peliharaan kes meninggal dua bulan yang lepas. Kes ini menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi,” ujarnya.
Dr. Ooi menjelaskan, kes berkenaan tidak mempunyai sejarah gigitan haiwan tetapi berdasarkan pemerhatian klinikal, mangsa mempunyai kesan lama cakaran dan luka serta sentiasa dijilat oleh kucing peliharaannya.
Susulan peningkatan kes rabies dalam kalangan manusia beserta haiwan iaitu anjing dan kucing di negeri ini, beliau menasihatkan orang awam agar sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan jangkitan rabies.
“Segera mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan selepas digigit atau dicakar atau terkena air liur pada bahagian mukosa dan kulit yang mempunyai luka atau radang, termasuk haiwan peliharaan sendiri.
“Vaksin anti-rabies boleh didapati di 130 buah Post-Bite Clinic di kemudahan kesihatan awam dan di 29 buah fasiliti swasta di seluruh Sarawak,” katanya. – TVS