DARO, 14 Dis: Sembilan sekeluarga hilang tempat tinggal apabila sebuah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Nangar Besar di sini, awal pagi tadi.
Kejadian pada kira-kira 5.15 pagi itu berlaku ketika semua mangsa berada di dalam rumah berkenaan.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Daro, Mohd Mafri Abdul Latif berkata, kejadian disedari oleh seorang penghuni rumah yang ternampak api di bilik hadapan.
“Dia kemudiannya bergegas mengejutkan semua penghuni rumah lain sebelum kesemua mereka bergegas keluar untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 5.20 pagi.
“Kami bertindak membuat tindakan ‘fire break’ bagi memastikan kebakaran tidak merebak ke rumah bersebelahan dengan menggunakan aliran salur bantu mula sehingga api berjaya dikawal, ” katanya.
Menurutnya, semua mangsa berjaya menyelamatkan diri dan tiada kecederaan dilaporkan.
“Operasi tamat sepenuhnya pada 7.19 pagi. Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya. – TVS