Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Jabatan Imigresen menemui beberapa dokumen warga asing yang dipalsukan bersama beberapa peralatan ketika melakukan serbuan ke atas sebuah unit pangsapuri di Persiaran Mayang Pasir 5, Bayan Baru di sini hari ini. Foto: JIM

Imigresen bongkar sindiket palsu dokumen, lesen Pakistan

GEORGE TOWN, 12 Dis: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya membongkar kegiatan memproses pelbagai dokumen palsu warga asing termasuk lesen memandu negara Pakistan selepas menyerbu sebuah unit pangsapuri di Persiaran Mayang Pasir 5, Bayan Baru di sini pada Selasa.

Pengaraha JIM Pulau Pinang, Shah Inor Shahbudin berkata, pada awalnya operasi bermula kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu menyasarkan bagi memeriksa beberapa unit flat selepas menerima aduan orang ramai berhubung kehadiran warga asing yang berkeliaran.

Menurutnya, seramai 33 individu warga asing telah diperiksa pihaknya daripada 11 unit rumah yang dilaporkan.

“Lima warga asing telah ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen iaitu masing-masing seorang wanita dan lelaki warga Myanmar serta tiga lelaki warga Pakistan.

“Serbuan di salah sebuah rumah turut menemukan peralatan dipercayai bagi memalsukan dokumen termasuk beberapa dokumen yang telah siap dicetak yang ditemui dalam bilik utama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mendedahkan pasukan operasi merampas tiga pasport yang didapati sedang diubah suai bersama dokumen-dokumen siap dicetak iaitu lima keping i-Kad Imigresen, kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) (tiga) dan lesen memandu antarabangsa Pakistan (lima).

“Turut ditemui, beberapa peralatan elektronik termasuk komputer riba, mesin laminate, mesin pencetak dan 246 keping kad plastik keras yang belum bercetak.

“Selain itu adalah peralatan pengubahsuaian pasport, 57 keping plastik filem laminating lutsinar, pemacu cakera keras dan tiga telefon bimbit pelbagai jenama,” katanya lagi.

Beliau berkata, selain kesalahan memalsukan dokumen, mereka yang ditahan didapati melakukan kesalahan seperti tiada pengenalan diri, tinggal lebih masa serta melanggar Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan