KUCHING, 12 Dis: Dua program terbitan TVS berjaya menjadi calon akhir terbaik pada Asian Televison Awards 2024.
Menurut laman web anugerah berkenaan, Aroma Puncak Borneo tercalon untuk kategori Program Gaya Hidup Terbaik.
Aroma Puncak Borneo yang memaparkan tradisi unik dan gaya hidup masyarakat di Borneo ini akan bersaing dengan tujuh finalis lain.
Antaranya The Cook Up with Adam Liaw Series 4 (Australia), A Meal and A Meet: Borderland Surviving (Taiwan), The Forever Walk : China National Geographic China (China), India’s Best Resorts (India), The Taiwan Way (Taiwan), Foodwise – The Taste of Home China (China) dan satu lagi karya Malaysia, So Young So Good yang diterbitkan oleh Metropolitan TV.
Sementara itu, Borneo Wildlife & Nature pula tercalon dalam kategori Program Sejarah Alam atau Hidupan Liar Terbaik.
Program ini memaparkan kepelbagaian biodiversiti di Sarawak telah menarik perhatian penonton dengan sinematografinya yang menakjubkan selain naratif yang mendalam.
Borneo Wildlife & Nature akan bersaing dengan No Boundary (Korea Selatan), Otter Dynasty (Singapura), OSO18 – In Pursuit of a Deadly Bear (Jepun), Call of the Ocean (Taiwan), Wuyishan – Our National Park (China), Snakes SOS (India) dan Ningaloo Nyinggulu, Australia.
Majlis anugerah berprestij yang memasuki edisi ke-28 penganjurannya akan berlangsung pada 12 dan 13 Januari 2024, di Ho Chi Minh, Vietnam.
Sebanyak 56 kategori dipertandingkan antaranya termasuklah Filem Pendek Terbaik/Program Digital Terbaik, Siri/Program Digital Bukan Fiction Terbaik, Drama Siri Terbaik, Skrip Terbaik, Lagu Tema Terbaik dan Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik.
.
Sementara itu, Guardians of the Shore yang ditayangkan pada 26 Februari lepas di TVS dicalonkan bagi kategori Filem Cereka/Dokumentari Panjang Terbaik di Festival Filem Eco Kuala Lumpur (KLEFF) 2023.
Dokumentari itu antara lain menyoroti usaha pemuliharaan alam sekitar di sepanjang pantai di Sarawak. -TVS