KUCHING, 28 JUN: Perasaaan sedih dan gembira bercampur aduk bagi seorang balu yang mendapat kunci rumah baru. Sepatutnya tinggal berdua bersama suami, kini tinggal seorang diri.
“Walaupun gembira dapat rumah baru, bila terkenangkan suami yang sepatutnya sama-sama berpindah ke rumah tersebut bersama saya sudah pergi selama-lamanya, rumah itu seolah-olah kurang bermakna kerana akhirnya saya tinggal sendiri di rumah baru.
“Kami dapat berita gembira itu bersama tetapi tidak dapat bersama menerima kunci rumah baru.
“Tapi apa-apa pun kehidupan perlu diteruskan dan rasa bersyukur terima rumah baru dan jadi menjadikan penantian rumah ini bersama suami sebagai kenangan kami,” katanya ketika ditemui TVS.
Demikan luahan hati Tan Ahmoi, yang kehilangan suaminya pada Januari walaupun mereka bersama-sama menerima projek bantuan.
Namun, Ahmoi yang berusia 60 tahun itu turut melahirkan perasaan bersyukur selepas impiannya dan mendiang suami untuk memiliki rumah yang serba lengkap menjadi kenyataan.
Dibina menerusi Program Rumah Sejahtera Pantai Pamai, rumah tersebut dibina di Kampung Temedak Kuching bagi menggantikan kediaman lamanya yang agak uzur dan tidak selamat untuk didiami.
Sementara itu, menurut Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, kos pembinaan rumah tersebut ialah sebanyak RM35,000 dan siap sepenuhnya pada Mei lepas.
Tambahnya lagi, Program Rumah Sejahtera Pantai Damai telah membina empat buah rumah sepanjang projek tersebut dijalankan.
“Ini adalah rumah yang ke 4, yang kita bina dalam projek rumah sejahtera. Rumah pertama ialah di Kampung Rampangi, yang kedua di Kampung Buntal, yang ketiga di Kampung Jaya Bakti, seterusnya yang ke empat di Kampung Temedak,” ujarnya.
Dalam pada itu, menerusi majlis yang sama, Dr Abdul Rahmman turut memaklumkan mengenai perkembangan projek pembinaan parit di Kampung Temedak Kuching.
“Namun demikian, seperti yang kita lihat pada pagi ini, projek ini hampir siap dan komponen utama projek ini ialah pembinaan baru, parit-parit baru bagi menyalurkan air. Kita membinakan parit ini untuk memastikan bahawa air yang mengalir dapat disalurkan dengan sempurna ke sungai kecil berdekatan dengan kampung Temedak ini,” katanya.
Menurutnya, projek yang menelan kos sebanyak RM425 000 tersebut dijangka siap sepenuhnya pada hujung Julai nanti.