Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Anwar Ibrahim memotong pulut kuning pada simbolik setahun Kerajaan Madani sempena Penutup Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. Foto, Bernama.

Cubaan ‘tebuk atap’ akan gagal, Kerajaan Perpaduan ada bumbung konkrit – Anwar

ByBernama

KUALA LUMPUR, 10 Dis: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata percubaan terdesak pembangkang untuk langkah ‘tebuk atap’ tidak akan berjaya kerana Kerajaan Perpaduan yang diterajui 18 parti komponen mempunyai ‘bumbung yang konkrit’.

Sepanjang setahun menerajui kerajaan, Perdana Menteri mengakui tidak pernah sekali pun berlaku pertelagahan disebabkan perbezaan dasar parti masing-masing.

“Bumbung kita bumbung konkrit. Sekarang ini di Putrajaya tidak ada tebuk atap.

“Percubaan tebuk atap ni, ada yang kata Ogos tetapi saya fikir kita ada kekuatan. Saya dalam Jemaah Menteri belum ada sekali pun pertelagahan atas nama perbezaan parti, perbezaan pendapat masing-masing ada,” katanya pada sesi dialog Majlis Perasmian Penutupan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI.

Sesi itu turut disertai kedua-dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Anwar berkata berdasarkan kekuatan parti-parti komponen, kerajaan akan memberikan tumpuan penuh untuk mengangkat Malaysia sebagai negara maju dan hebat di rantau ini.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata pandangan masyarakat bahawa beliau bekerja sendirian untuk menguruskan negara, adalah tidak benar dan ia adalah persepsi yang perlu diubah.

Katanya setiap Jemaah Menteri memainkan peranan penting dalam mengemudi kementerian masing-masing dan beliau sendiri tidak terlibat secara langsung.

“…itu sebab kita adakan pameran ini (Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI) supaya dilihat peranan setiap kementerian. Kita bermesyuarat setiap minggu, tentang ekonomi, kewangan, KKR (Kementerian Kerja Raya), kesihatan, pendidikan, komoditi, MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri).

“Kalau tengok MITI, ratusan bilion, itu bukan kerja Anwar seorang, tidak mungkin… Itu maknanya menteri berkenaan (bekerja keras),” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata kesemua parti kekal memberikan dukungan penuh kepada Anwar untuk terus menerajui pimpinan Kerajaan MADANI.

“Malah dalam setiap mesyuarat, sekretariat memberikan laporan, jika pun terdapat perbezaan pandangan di akar umbi, maka itu bukan pendapat parti tetapi pendapat individu,” katanya.

Turut senada, Fadillah berkata kesemua parti komponen akan bersama-sama Kerajaan Perpaduan untuk bergerak maju mentadbir negara serta fokus kepada usaha meningkatkan kekuatan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

“Satu tahun dah kita capai, insya-Allah dalam empat tahun kita akan menjadi sebuah negara lebih makmur, kesejahteraan rakyat akan terpelihara. Berilah sokongan kepada kita, kita akan bekerja lebih keras lagi,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan