KUCHING, 10 Dis: Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu berbangga di atas kejayaan terbaharu yang dilakar oleh Muhammad Johan Ghazali pada perlawanan ONE Championship Flyweight Muay Thai pagi semalam.
Penghargaan itu dititipkan Gerald Rentap menerusi hantaran di Instagramnya.
Pemenang pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 yang mesra disapa Jojo itu dilihat turut berterima kasih kepada Gerald Rentap di atas ucapan berkenaan.
Awal pagi semalam, Muhammad Johan, 17, berjaya menumpaskan juara Muay Thai antarabangsa WBC, Edgar Tabares dalam masa 36 saat pada pusingan pertama.
Muhamamd Johan memenangi perlawanan tersebut selepas meraih knockout melalui kombinasi tumbukan ‘uppercut’ tangan kiri sebelum melepaskan tumbukan ‘overhand’ tangan kanan yang mengenai kepala Tabares.
Perlawanan tersebut merupakan kemunculan pertama Jojo di ONE Championship selepas meraih kontrak bernilai USD 100,000 bersama organisasi tersebut.
Sepanjang lima perlawanan di ONE Championship, Muhammad Johan setakat ini menampilkan aksi luar biasa apabila menang empat pertarungan menerusi knockout. -TVS