Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan) hadir pada Majlis Pelancaran Zcert: Sistem Dokumen Kelayakan Disahkan Digital Rentas Sempadan Blockchain Zetrixxinghuo, semalam. Foto: Bernama

Kontraktor bida projek kerajaan perlu tunjuk prestasi terbaik – Ahmad Zahid

ByBernama

KUALA LUMPUR, 10 Dis: Semua kontraktor yang membida projek kerajaan perlu menganggap ia sebagai satu peluang untuk menunjukkan prestasi terbaik dari segi kualiti, produktiviti dan profesionalisme selain menyiapkannya dalam tempoh ditetapkan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kontraktor yang telah dianugerahkan projek tertentu pula perlu menganggap ia sebagai amanah dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan kerana di dalamnya terdapat hak yang mesti ditunaikan kepada orang lain.

“Selain sifat amanah, jika kontraktor Bumiputera terus berusaha dan menitikberatkan sifat kreatif dan berdaya saing, mereka akan berupaya memanfaatkan segala peluang serta sentiasa bersedia mengadaptasi norma baharu yang penuh cabaran dan perubahan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Setiausaha Politiknya Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Ke-44 dan Pelancaran Majlis Kontraktor Generasi Baru persatuan itu malam tadi.

Menyedari hakikat kesukaran yang dihadapi sektor pembinaan susulan pandemik COVID-19 yang melanda negara beberapa tahun lepas, Ahmad Zahid berkata inisiatif di bawah Ekonomi MADANI berpotensi memacu perubahan positif kepada negara dengan mengguna pakai pendekatan strategik dan berasaskan nilai terutama dalam tempoh ketidaktentuan ekonomi domestik serta global.

“Kerajaan menyedari dalam suasana ekonomi yang begitu mencabar, tidak ramai kontraktor yang sanggup untuk terlibat dalam projek perumahan kos rendah yang kurang memberi pulangan lebih-lebih lagi dalam keadaan harga bahan binaan yang masih tidak menentu.

“Saya percaya peruntukan melalui Belanjawan 2024 di peringkat Kerajaan Persekutuan dan negeri bukan sahaja menjadi pelaburan jangka panjang untuk menghidupkan kembali pembangunan fizikal serta ekonomi tetapi juga akan merancakkan semula aktiviti pelaksanaan projek khususnya bagi kontraktor kecil dan sederhana,” katanya.

Statistik Kementerian Kerja Raya menunjukkan industri pembinaan dianggar mengalami kerugian lebih RM42 bilion sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di negara ini pada 18 Mac 2020 hingga kini. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan