SIBU, 9 Dis: Ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bawang Assan diminta agar melipatgandakan usaha mereka untuk menganjurkan lebih banyak program atau aktiviti.
Menurut Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Romeo Christopher Tegong dengan bersikap proaktif dalam menganjurkan pelbagai program cawangan tersebut boleh menarik lebih ramai ahli menyertai parti itu.
Beliau menekankan kekuatan sesebuah parti politik adalah daripada jumlah ahli yang mereka punyai, semakin ramai ahli dalam parti tersebut semakin mudah sesuatu program mahupun aktiviti dilaksanakan.
“Jangan berhenti di sini sahaja (dalam menganjurkan program). Kita ada belia, mereka boleh menganjurkan program yang sama untuk sambutan Hari Gawai.
“Kemudian Krimas tahun hadapan dianjurkan oleh jawatankuasa yang sama. Semoga ‘keluarga’ kita bertambah besar dan ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Makan Malam Pra-krismas merangkap kutipan dana anjuran Sayap Wanita PBB Bawang Assan di sebuah restauran pada Jumaat.
Terdahulu seramai 400 peserta menyertai program tersebut, bukan sahaja dari PBB Cawangan Bawang Assan tetapi juga dari Tamin, Kakus, Nangka, dan banyak lagi.
Romeo yang juga Pengerusi PBB Cawangan Bawang Assan mengucapkan tahniah kepada Sayap Wanita PBB Bawang Assan atas usaha mereka menjayakan bagi menjayakan program tersebut.
Jelas beliau penganjuran program tersebut bukanlah sesuatu yang mudah namun Sayap Wanita cawangan tersebut telah berjaya mebuktikan kemampuan mereka dalam menganjurkan program sebegitu buat julung kalinya. – TVS