KUCHING, 9 Dis: Syarikat British Petroleum (BP) menunjukkan minat untuk menjalinkan kerjasama dengan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dalam Penggunaan dan Penyimpanan Tangkapan Karbon (CCUS) di Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerjasama tersebut menjadi satu lagi langkah permulaan Sarawak untuk membangunkan masa depan yang bersih bagi generasi yang akan datang.
“Jadi kita (Kerajaan Sarawak) berharap kerjasama yang dijalin kelak di antara BP dan PETROS dapat menjalankan kajian mengenai lokasi-lokasi penyimpanan karbon yang berpotensi di Sarawak,” katanya dalam satu laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pada Jumaat.
Menurut beliau, struktur geologi yang sesuai untuk menyimpan karbon dioksida (CO2) juga telah menarik minat pihak BP bagi membentuk jaringan bersama PETROS.
British Petroleum merupakan sebuah syarikat bersepadu yang beroperasi di semua bidang industri minyak dan gas termasuk penerokaan dan pengeluaran, penapisan, pengedaran dan pemasaran, petrokimia, penjanaan kuasa dan perdagangan.
Syarikat itu juga mempunyai kepentingan tenaga boleh diperbaharui dalam bahan bakar bio dan kuasa angin.
Terdahulu pada Jumaat, Abang Johari mengadakan pertemuan dengan pihak BP di The Park Tower Knightbridge Hotel.
Hadir sama dalam pertemuan tersebut ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom (UK), Datuk Zakri Jaafar, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Malcolm Mussen Lamoh serta tetamu jemputan lain. – TVS