Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Remaja perempuan 16 tahun maut digilis lori di Jalan Kuala Sepetang-Taiping, Taiping, semalam. Foto: PDRM

Remaja 16 tahun maut kemalangan, pemandu lori positif syabu ditahan

TAIPING, 8 Dis: Seorang pemandu lori yang terbabit kemalangan sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal remaja perempuan tingkatan empat di Jalan Kuala Sepetang-Taiping di sini semalam diberkas polis selepas didapati positif dadah jenis syabu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan orang awam berhubung satu kemalangan jalan raya membabitkan sebuah lori dan motosikal pada kira-kira 3.15 petang.

Katanya, siasatan mendapati, kejadian berlaku apabila lori dipandu lelaki berumur 27 tahun telah membelok ke simpang sebelah kiri jalan untuk menghala ke Taman Kota Barat.

“Ia menyebabkan seorang penunggang perempuan berketurunan Pakistan berumur 16 tahun dari arah Air Kuning menuju Sekolah Menengah Kebangsaan Dr Burhanuddin terkejut dan terbabas.

“Motosikalnya telah menggelongsor masuk ke bawah lori, manakala mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Razlam, ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori kemudiannya mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

“Polis telah menahan pemandu itu dan permohonan reman akan dibuat 8 Disember (hari ini) di Mahkamah Majistret Taiping bagi siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol hingga sebabkan kematian,” katanya lagi.

Ujar beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping, Inspektor Abdul Mu’iz Riduan di talian 011-2098 7354 bagi membantu siasatan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan