KOTA SAMARAHAN, 6 Dis: Reka bentuk Transit Aliran Autonomi (ART) akan diubahsuai dan ditambahbaik sedikit selepas data mengenainya dianalisis menerusi Latihan Bukti Konsep (POC) yang kini sedang dilaksanakan.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata laporan mengenainya akan dihantar ke kilang pembuatan ART di China pada hujung bulan ini.
“Kita minta mereka ubah sedikit bentuk, kita sudah sediakan, nanti kita akan pilih. Ini bukan yang terakhir, ini hanya satu Proof of Concept (POC) yang kita cuba,” katanya ketika ditemui ketika mengadakan lawatan ke tapak POC ART di sini, hari ini.
Mengenai laluan, beliau berkata ART akan diberi keutamaan apabila tiba di persimpangan lampu isyarat.
“Dalam sistem ini, kita ada sistem Transit Signal Priority (TSP). ART akan diberi keutamaan apabila sampai di lampu isyarat ia akan bertukar hijau, jadi tiada gangguan untuk ART tiba di destinasi dari satu tempat ke satu tempat,” ujarnya.
Menurutnya, walaupun dipandu secara automatik, ART akan bergerak dengan pemandu sebagai langkah keselamatan bagi memastikan pergerakannya lancar.
ART merupakan projek di bawah Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) yang bertujuan untuk menambahbaik mutu pengangkutan awam.
Kim Shin berkata lagi, ART akan bergerak mengikut tiga laluan – Laluan Biru, Laluan Merah dan Laluan Hijau yang dijadualkan siap pada hujung 2027.
“Laluan biru iaitu laluan pertama yang kita sedang bina ini akan siap pada hujung 2025 dan operasinya mungkin awal 2026, sepanjang 27.6 kilometer.
“Laluan Merah sepanjang 12.3 kilometer dari Kuching Sentral ke Pending, manakala Laluan Hijau, dari Pending ke Damai, sepanjang 30 kilometer,” katanya. – TVS