KUALA LUMPUR, 5 Dis: Komoditi utama Malaysia mengharungi tempoh mencabar pada 2023 berikutan penyusutan permintaan akibat ketidaktentuan ekonomi global dan ketegangan politik yang berlanjutan walaupun penurunan nilai ringgit yang sepatutnya memberi kelebihan.
Ini dijejaskan lagi dengan keadaan cuaca ekstrem serta isu kekurangan tenaga pekerja yang memberi kesan terhadap pengeluaran dalam kesemua empat komoditi utama seperti minyak sawit, getah, koko serta lada.
Namun, keresahan kalangan penggiat industri itu sedikit terubat apabila kerajaan memberi jaminan untuk menyelesaikan isu kekurangan pekerja bagi sektor yang banyak bergantung kepada khidmat itu seperti perladangan berskala besar.
Bekalan tenaga kerja yang mencukupi misalnya berupaya memacu pengeluaran di kawasan ladang, terutama bagi pekebun sawit manakala jangkaan pengukuhan ringgit akan meningkatkan lagi perolehan hasil eksport sektor berkenaan.
Bagi tempoh Jan-Sept 2023, sektor agrikomoditi mencatatkan nilai eksport sebanyak RM117 bilion berbanding RM160.6 bilion dalam tempoh Januari hingga September 2022.
Kekurangan pekerja cabaran utama sektor
Jika diamati, 2023 merupakan tahun keempat berturut-turut menyaksikan sektor minyak sawit terus bergelut dengan isu kekurangan tenaga kerja, khususnya buruh asing bagi proses tuaian.
Ini lanjutan daripada penutupan sempadan sewaktu pandemik pada 2020 bagi mengekang penyebaran COVID-19 dan langkah-langkah penguatkuasaan seterusnya antara negara-negara.
Syarikat-syarikat perladangan melaporkan kekurangan hampir 42,000 tenaga kerja bagi usaha penuaian dan aktiviti kutipan di lapangan dengan jumlah kekurangan tertinggi kira-kira 55 peratus yang turut merugikan kerajaan dalam nilai berbilion ringgit.
Pada 2022, sektor ini mencatat kekurangan 63,000 pekerja asing yang menyebabkan kerajaan kehilangan hasil yang dianggarkan mencecah RM20 bilion.
Berikutan itu, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) memberi jaminan bahawa isu kekurangan tenaga kerja diselesaikan sepenuhnya pada tahun depan selain menggalakkan syarikat dan pekebun kecil menggunapakai mekanisasi dan automasi yang dapat mengurangkan kebergantungan industri kepada tenaga kerja asing.
Malah, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof pada Mac lepas berkata kira-kira 80 peratus masalah kekurangan tenaga kerja di ladang sawit telah dapat diselesaikan.
Misi pacu eksport, tangani persepsi
Bagi melindungi kepentingan sektor minyak sawit, Fadillah bertindak turun padang dan menyertai kalangan pengawal selia industri seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan agensi lain bagi menggalakkan penggunaan minyak sawit Malaysia selain menyangkal diskriminasi perdagangan terhadap komoditi itu.
Beliau memulakan misi itu di Brussels pada Mei 2023 dengan beberapa pertemuan dan sesi libat urus dengan pemimpin kanan Kesatuan Eropah (EU), termasuk menjelaskan pendirian Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) mengenai pelaksanaan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan EU (EUDR).
Usaha itu diteruskan di London yang menyaksikan Fadillah bertemu dengan beberapa menteri berkaitan sektor agrikomoditi dan kapasiti lain.
Kunjungan beliau mendapat reaksi positif daripada pemimpin Suruhanjaya Eropah apabila EU dijangka mengiktiraf Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) – skim pensijilan kebangsaan bagi ladang, pekebun kecil dan kilang pemprosesannya.
Setakat September 2023, kawasan dengan pensijilan itu meliputi kira-kira 95 peratus daripada jumlah kawasan penanaman sawit.
Fadillah turut mengetuai delegasi Malaysia ke Nairobi, Kenya pada Julai bagi meninjau potensi pertumbuhan sawit di pasaran Afrika Timur manakala misi terakhir ke Shanghai dan Beijing di China pada 12-19 November lepas.
Kehadiran beliau bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang penyelidikan, pembangunan serta pembinaan kapasiti dalam bidang komoditi, terutama mempromosi skim pensijilan MSPO di peringkat global.
Menyedari prospek China, Fadillah menyifatkan lawatan tersebut sebagai paling berjaya apabila republik itu komited untuk menjalin kerjasama lebih erat.
Lebih bermakna lagi, China yang mempunyai kira-kira 1.4 bilion penduduk dan pengguna minyak sawit kedua terbesar dunia selepas India, turut memberi komitmen untuk meningkatkan import minyak sawit dari Malaysia kepada 3.4 juta tan pada 2024 berbanding anggaran 3.14 juta tan setakat ini.
Selain meliputi pasaran tradisional Malaysia, KPK menyasarkan untuk memperluas pasaran itu ke India, Mesir, negara-negara Arab dan Afrika lain pada 2024.
Pengeluaran, harga MSM rendah
Data MPOB menunjukkan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) bagi tempoh Jan-Sept 2023 susut sedikit iaitu 13.28 juta tan, turun 0.5 peratus berbanding 13.34 juta tan bagi tempoh sama tahun lepas.
Harga MSM juga turun 27.1 peratus kepada RM3,835.50 satu tan bagi tempoh Jan-Oktober 2023 berbanding RM5,264.50 satu tan bagi tempoh sama 2022 dengan harga dagangan tertinggi dan terendah masing-masing pada RM4,217.50 satu tan pada April dan RM3,640.00 satu tan pada Oktober.
Pada acara Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa MPOB baru-baru ini, kalangan pakar industri mengunjurkan MSM Malaysia diniagakan pada RM4,000 hingga RM4,200 satu tan tahun depan yang dipengaruhi oleh perkembangan cuaca, risiko geopolitik, dasar kerajaan dan pertumbuhan ekonomi global yang lebih perlahan.
Dari segi prestasi, nilai eksport minyak sawit Malaysia bernilai RM40.51 bilion dengan kuantiti eksport mencecah 9.66 juta tan bagi tempoh Jan-Ogos tahun ini.
El-Nino, geopolitik pengaruhi getah
Pengeluaran industri getah negara terjejas pada 2023, diasak oleh faktor iklim seperti fenomena El Nino, musim sejuk dan monsun Timur Laut.
Tidak cukup dengan itu, getah turut dijejaskan oleh penurunan harga, kekurangan penoreh getah dan penyebaran penyakit luruhan daun Pestalotiopsis yang kekal sebagai faktor dominan bagi industri pada tahun ini.
Selain itu, Lembaga Getah Malaysia (LGM) memberitahu Bernama, paras harga ladang bagi getah telah berlegar di bawah 250 sen sekilogram selama tiga suku tahun berturut-turut menyebabkan aktiviti menoreh dilihat sebagai tidak menarik minat pekebun kecil.
“Harga getah asli yang lebih rendah telah menyebabkan pendapatan pekebun kecil berkurangan di bawah paras pendapatan garis kemiskinan negara dengan lebih 400,000 hektar pegangan getah ditinggalkan,” katanya.
Sektor hiliran menjadi penyumbang utama industri getah dari segi pendapatan eksport, namun pasca pandemik terbukti tempoh paling getir bagi pengeluar sarung tangan selepas menikmati ‘durian runtuh’ ketika kemuncak COVID-19.
Isu lebihan bekalan turut mengasak harga jualan sepertimana disaksikan oleh penurunan ketara dalam pendapatan eksport selain faktor ketegangan geopolitik termasuk Rusia-Ukraine, Timur Tengah yang memberi impak negatif ke atas pasaran global serta industri getah Malaysia.
Pada masa sama, China dilihat meningkatkan pengeluaran sarung tangan yang pantas meraih bahagian pasaran, sekali gus menjadi saingan terhadap industri sarung tangan Malaysia.
Selain itu, kerajaan menerusi pengumuman Bajet 2024, bersetuju menaikkan Kadar Harga Maksimum (PHP) Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada RM3.00 sekilogram melibatkan peruntukan sebanyak RM400 juta.
Melalui pelaksanaan IPG, pekebun kecil menerima harga getah peringkat ladang (50 peratus kandungan getah kering) pada paras RM3.00 sekilogram untuk getah beku mangkuk yang dijual.
Pada 23 Okt, lepas, Fadillah melancarkan Projek Rintis Model Baharu bagi Insentif Pengeluaran Lateks dengan tawaran dan insentif yang lebih menarik untuk golongan pekebun kecil.
Unjuran pengeluaran getah asli bagi tahun ini adalah sekitar 330,000 hingga 350,000 tan, separuh daripada yang dihasilkan pada empat tahun lepas manakala pengeluaran getah dalam tempoh lapan bulan pertama 2023 berjumlah 221,143 tan, turun sebanyak 30,045 tan atau 12 peratus berbanding tempoh sama pada 2022.
Harga purata bagi Getah Mutu Malaysia (SMR) 20 bagi Januari-Oktober 2023 mencecah 612.50 sen sekilogram, susut sebanyak 74.88 sen sekilogram atau 10.9 peratus berbanding 687.38 sen sekilogram pada tempoh sama tahun lepas.
Selain itu, harga purata lateks pukal adalah 502.75 sen sekilogram, turun 83.77 sen sekilogram atau 14.2 peratus berbanding 586.52 sen sekilogram bagi tempoh sama pada 2022.
Menurut LGM, antara faktor aliran penurunan itu adalah ketidaktentuan data ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan China.
Pada masa sama, penurunan nilai ringgit berbanding dolar AS telah membantu mengehadkan lagi kerugian dialami oleh pasaran getah.
Minat tanam, coklat artisan ‘pemanis’ industri koko
Walaupun segmen huluan industri koko mencatat penurunan berikutan penyusutan hasil dan jumlah ladang, minat terhadap usaha penanaman koko terbukti menyerlah tahun ini.
Menurut Lembaga Koko Malaysia (LKM), perkembangan itu didorong oleh peningkatan pengusaha coklat artisan serta ‘bean-to-bar’ iaitu pemprosesan dari biji koko sehigga menjadi coklat.
Ketua Pengarah Dr Ramle Kasin tahun ini menyaksikan tumpuan terhadap sektor hiliran koko selain produk dengan nilai tambah selain pengembangan ke pasaran baharu.
Bagi tempoh Jan-Sept 2023, Malaysia mencatat liputan pasaran yang luas sehingga ke 200 destinasi di serata dunia.
“Pendapatan eksport koko dan produk berasaskannya bagi tempoh itu mencatat pertumbuhan 0.5 peratus kepada RM5.80 bilion berbanding tempoh sama pada 2022,” katanya.
Berdasarkan prestasi itu, industri koko Malaysia diunjur terus meningkat dengan pendapatannya dijangka mencecah RM8.0 bilion pada 2024.
Bahang ketidakseimbangan bekalan, permintaan industri lada
Bagi komoditi lada, 2023 membuktikan bahang ketidakseimbangan bekalan dan bekalan yang terbukti menjadi cabaran dihadapi oleh Raja Rempah ini.
Sebagaimana diakui oleh Fadillah, jurang berkenaan telah memberi tekanan ketara terhadap harga serta penanaman lada di pelbagai wilayah dan kawasan.
Menurut Komuniti Lada Antarabangsa (IPC), dunia menggunakan kira-kira 213,000 tan pada tahun lepas yang menunjukkan penyusutan kecil permintaan berbanding 2021 sebanyak 224,000 tan.
Penurunan itu juga sebahagian besarnya didorong oleh pemulihan pasca pandemik serta pelarasan permintaan yang sewajarnya.
Malaysia yang juga pengeluar lada kelima terbesar dunia dengan kapasiti 32,724 tan selepas Vietnam, Brazil, India dan Indonesia, telah merekodkan eksport lada bernilai RM96 juta setakat Ogos 2023.
Terdapat 38,587 juta pekebun kecil lada di Malaysia pada masa ini dengan kawasan penanaman seluas 8,091 hektar dengan eksport ke Jepun, Singapura, Korea Selatan, Vietnam dan Taiwan.
Sejajar dengan prospeknya, KPK menyasarkan untuk meningkatkan eksport lada dengan teknologi baharu untuk petani, meningkatkan produktiviti selain menggalakkan penghasilan lebih banyak produk hiliran menggunakan lada bagi pasaran termasuk sektor makanan, farmaseutikal, nutraseutikal serta kecantikan. – TVS