Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kumbang tanduk panjang yang ditemui di dalam kontena produk kayu diimport dari Papua New Guinea pada pemeriksaan di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth (NBCT) di sini, semalam. Foto: MAQIS

MAQIS tahan 33.9 tan kayu diimport bersama serangga perosak

BUTTERWORTH, 4 Dis: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) mengesan sebuah kontena produk kayu yang diimport ke negara ini mengandungi serangga perosak yang berisiko kepada komoditi pertanian negara menerusi pemeriksaan di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth (NBCT) di sini, semalam.

MAQIS Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, kontena itu didapati mengandungi kira-kira 33.9 tan produk kayu dari Papua New Guinea.

Ujar kenyataan berkenaan, pihaknya telah merampas kayu-kayan jenis ‘Pencil Cedar Baulks’ tersebut yang bernilai RM186,000 bagi pemeriksaan lanjut selepas menemui serangga perosak.

“Prosedur pintasan dan persampelan telah dijalankan terhadap konsainan itu dan sampel telah dihantar ke Makmal Biosekuriti Tumbuhan Jabatan Pertanian.

“Keputusan analisa penyaringan perosak mendapati, spesis yang ditemui adalah jenis kumbang tanduk panjang (Chloridolum dorycum) yang merupakan spesis serangga perosak yang berisiko tinggi terhadap komoditi pertanian negara,” kata kenyataan itu hari ini.

Sementara itu, kenyataan berkenaan menambah, perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian, tumbuhan, binatang, karkas, ikan, tanih dan mikroorganisma yang mempunyai perosak adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Perkhidmatan dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“Justeru, MAQIS sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di semua pintu masuk negara bagi menyekat kehadiran perosak yang boleh merebak dan menyebabkan penularan yang berbahaya terhadap industri pertanian negara,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan