KUCHING: Sebanyak tiga buah rumah terbakar di Kampung Haji Baki, Kuching pada petang Sabtu.
Kejadian dikatakan berlaku pada jam 2.53 minit petang.
Sebuah rumah musnah sepenuhnya, manakala dua buah rumah lagi kira-kira 10 peratus terbakar.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang, Mohd Raffy Saibi, kerja-kerja memadam kebakaran dilakukan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang dengan bantuan BBP Tabuan Jaya.
Ketiga-tiga buah rumah itu merupakan rumah dua tingkat, di mana rumah pertama didiami enam orang.
Dua buah rumah lagi, masing-masing dihuni oleh 12 dan tiga orang.
Tambahnya, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kebakaran tersebut.
“Bagaimanapun saya difahamkan semua mangsa dalam keadaan selamatlah. Walaupun pada peringkat pertamanya tadi, rumah pertama mendapati seorang mangsa pengsan. Walau bagaimanapun dia telah berjaya diselamatkan, ” katanya ketika ditemui TVS pada Sabtu.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.15 minit petang dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 5 petang.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Kitang, Lo Khere Chiang, berterima kasih kepada semua pihak yang telah berjaya mengawal kebakaran.
Katanya, bantuan akan segera dihulurkan kepada semua mangsa kejadian.
“Saya juga akan membantu kerana mereka sememangnya memerlukan bantuan. Saya akan cuba membantu dengan menggunakan peruntukan yang telah diperuntukkan oleh pihak Kerajaan Sarawak untuk membaiki rumah,” ujarnya.