KUCHING, 3 Dis: Kerajaan negeri merancang menaik taraf infrastruktur yang akan menyaksikan landskap Kampung Telaga Air berubah wajah dalam tempoh tiga tahun.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Telaga Air berpotensi menjadi sebahagian daripada ‘tourism belt’ di selatan Sarawak.
Menurutnya, kawasan itu berupaya menjadi Pusat Kegiatan Hab Sukan Air berikutan faktor georgrafi yang berhubung dengan kawasan eko pelancongan Lundu dan Sematan, selain melihat kepada tarikan flora dan fauna, kedua-dua laut dan sungai di kawasan berkenaan.
“Telaga Air ini adalah kawasan yang disebut sebagai ‘tourism belt’ kerana mereka mempunyai khazanah yang tersendiri.
“Tambahan pula di sini ada eko sistem termasuklah pokok bakau, karbon, ikan, buaya semuanya mencukupi dan kita akan lengkapkan kawasan ini dengan pembangunan infrastruktur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penangguhan Regatta Telaga Air di Esplanade Telaga Air di sini, hari ini.
Katanya, antara perancangan untuk menaik taraf pembangunan infrastruktur adalah pembinaan Jalan Baru melalui Jalan FAC yang dikenali sebagai Jalan Pehin Sri Adenan Satem, memperbesarkan tebingan sungai Telaga Air, serta pembinaan masjid terapung yang akan menjadi daya tarikan pengunjung untuk singgah ke Telaga air, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi penduduk setempat.
“Kita akan bina satu jalan raya dari Jalan Temenggong, kita akan sambungkan ke Jalan FAC di mana sekarang jalan ini dikenali sebagai Jalan Pehin Sri Adenan Satem.
“Jajaran jalan raya tersebut akan kita sambungkan dengan membina jalan dual-carriageway dan masuk ke Telaga Air. Selain itu kita akan memperbesarkan tebingan sungai dan membina masjid terapung,” ujarnya. -TVS