KUCHING, 3 Dis: Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat memainkan peranan penting membantu dalam mempercepatkan proses pendaftaran Orang Kurang Upaya (OKU) dalam komuniti masyarakat di bawah tanggungjawab mereka.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Dato Sri Nancy Shukri berkata, Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat mempunyai pengetahuan keadaan komuniti, selain lebih rapat dengan komuniti di sekeliling mereka.
Katanya, Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat boleh bersama KPWKM untuk menganjurkan program-program berkaitan termasuk membantu dalam mendaftarkan golongan OKU jika golongan itu terdapat dalam komuniti mereka.
“Bagi mendaftarkan golongan OKU ini mereka memerlukan pengesahan daripada doktor terlebih dahulu mengenai jenis dan kecacatan atau kekurangan fizikal dialami mereka.
“Justeru dalam hal ini Ketua Masyarakat atau Ketua kaum ini bolehlah bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mereka memastikan ataupun mengesahkan sama ada orang ini ataupun anak ini adalah OKU,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Sambutan Hari OKU Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.
Nancy berkata, berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga 31 Oktober lepas, jumlah OKU di negara ini yang telah berdaftar melalui Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU) adalah seramai 681,074 orang.
“Namun jumlah ini masih terlalu rendah iaitu hanya 1.8 peratus. Kesedaran yang masih rendah dalam kalangan masyarakat khususnya waris OKU untuk mendaftar selain ketidakfahaman masyarakat serta terdapat pembatasan terhadap definisi OKU yang menyumbang kepada keciciran bilangan yang termasuk dalam kategori ini,” ujarnya. -TVS