SIBU, 2 Dis: Lebih 40 buah kubur di Tanah Perkuburan Iban, Bukit Kakang Pasai Tengah dekat sini, diselongkar dan dirosakkan individu tidak bertanggungjawab pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, pihaknya telah menerima satu laporan mengenai kejadian tersebut.
“Pihak polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daearah (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu sedang giat menjalankan siasatan dan dianggar kira-kira 40 buah kubur terjejas.
“Setakat ini, kita hanya menerima satu laporan polis daripada seorang pengadu selepas mendapati kubur ibu bapanya diceroboh dan dikorek orang yang tidak dikenali,” katanya ketika dihubung TVS hari ini.
Katanya, kejadian itu disedari seorang wanita bersama ibu saudaranya ketika menziarahi makam ibu bapanya sekitar jam 10.30 pagi.
“Pengadu turut melaporkan bahawa pelbagai barang di dalam kubur ibunya termasuk barang kemas turut dicuri,” jelasnya.
Susulan itu, pengadu telah membuat satu laporan polis untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Zulkipli berkata, satu kertas siastan telah dibuka di bawah Seksyen 297 Kanun Keseksaan.
Jelasnya, polis menyeru waris kubur yang terjejas agar tampil membuat laporan di balai polis yang berdekatan untuk memudahkan proses siasatan.
Difahamkan tanah perkuburan lama yang telah wujud sejak 80 tahun lalu tersebut mempunyai 300 buah kubur lama dan baharu terletak kira-kira dua kilometer dari jalan utama Pasai Siong Tengah dikongsikan oleh penduduk dari sembilan buah rumah panjang di kawasan sekitar. – TVS