SRI AMAN, 2 Dis: Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Wanita Sarawak meluangkan masa melawat pesakit di wad kanak-kanak Hospital Sri Aman bagi menyampaikan sumbangan kebajikan.
Menurut Pengerusi Maksak Wanita Sarawak, Datin Amar Baduyah Bujang, seramai 21 orang kanak-kanak menerima sumbangan berupa barang-barang keperluan beserta wang tunai.
Jelasnya sumbangan yang disampaikan diharap mampu menceriakan pesakit kanak kanak dan ahli keluarga yang akan menyambut perayaan Krismas pada 25 Disember ini.
“Tujuan Maksak Wanita Sarawak hari ini hadir di Hospital Sri Aman adalah memberi sumbangan sempena Hari Krismas kepada 21 orang kanak-kanak yang menerima rawatan di wad kanak kanak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas menyerahkan sumbangan kepada kanak-kanak di Hospital Sri Aman hari ini.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Hospital Sri Aman, Dr Sim Poh Ling mengucapkan rasa syukur dengan kehadiran Maksak Wanita Sarawak untuk membantu pesakit dalam bentuk sumbangan.
Ujarnya, pihak Hospital Sri Aman amat menggalakkan mana-mana organisasi luar untuk melaksanakan kerja komuniti seperti itu bagi meringankan beban pesakit dan ahli keluarga mereka.
“Organisasi di luar boleh datang dan bersama pihak hospital membantu pesakit kami di sini bersama melaksanakan kerja komuniti antara hospital dan juga orang ramai,” jelasnya. -TVS