MATU, 2 Dis: Lebih 500 peserta pelbagai usia berkongsi keterujaan menyertai larian Matu Fun Run yang berlangsung di Dataran Majlis Daerah Matu dan Daro.
Peserta bukan sahaja dari sekitar Matu tetapi daerah lain yang berhampiran sekali gus menjadikan acara larian yang pertama itu paling berjaya setakat ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya berkata, sambutan positif itu menyuntik semangat penganjur untuk menjadikannya sebagai acara tahunan.
“Program kita hari ini, walaupun pertama kali diadakan, ia amat berjaya, terima kasih kepada semua yang terlibat termasuk urus setia dan sukarelawan. Ini menunjukkan kerjasama kita di daerah Matu berada pada tahap yang paling baik.
“Sehubungan itu, Matu Fun Run akan dijadikan sebagai acara tahunan pada setiap minggu pertama Disember,” katanya ketika menyempurnakan majlis perasmian acara berkenaan hari ini.
Menurut Juanda, walaupun pertama kali diadakan, acara itu terbukti berjaya menyerlahkan keupayaan penganjur selain berupaya mengeratkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Sehubungan itu, beliau mahu jawatankuasa penganjur melakukan penambahbaikan bagi memastikan kejohanan itu lebih meriah pada masa akan datang.
“Penganjuran program besar sebegini tidak hanya menarik kehadiran masyarakat luar tetapi juga menjadikan pekan Matu sentiasa hidup sekali gus merancakkan ekonomi penduduk setempat,” katanya. – TVS