LAWAS, 2 Dis: Pelbagai inisiatif pembangunan yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak tidak pernah meminggirkan kebajikan rakyat negeri ini, kata Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong.
Meskipun berdepan dengan kekangan dan had peruntukan, Henry berkata usaha membantu rakyat dan membawa pembangunan adalah agenda yang utama kerajaan secara berterusan.
“Bagi pihak kerajaan, kita akan terus berusaha membawa kebaikan dan pembangunan secara menyeluruh walaupun peruntukan yang diperlukan ada had.
“Mana yang diperlukan, kerajaan akan terus berusaha untuk membantu,” katanya pada Program Outreach Komuniti Prihatin, Komuniti Berbakti Sejahtera di Kampung Betong, Lawas hari ini.
Jelas Henry, usaha membantu rakyat yang memerlukan itu bukan hanya terletak dibahu kerajaan tetapi merupakan tanggungjawab semua rakyat.
Tambahnya, kerjasama antara rakyat dan kerajaan akan mampu membawa lebih banyak kebaikan untuk rakyat yang memerlukan pembelaan.
“Penduduk kampung juga mempunyai tanggungjawab untuk memberi kerjasama seperti hari ini.
“Ini merupakan kerjasama yang baik dan ramai yang datang dari Limbang dan ini merupakan tugas kita semua, tanggungjawab untuk bekerjasama dan membantu satu sama yang lain,” katanya lagi.
Rombongan terdiri daripada 13 Sukarelawan Kebajikan Limbang diketuai Agnes Tegala itu menyantuni keluarga Herman Pungot dan pasangannya, Serbiah Matyassin bersama enam anak mereka.
Dalam pada itu, Henry turut membantu keluarga tersebut untuk mendapatkan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan bantuan lain seperti jalan masuk ke rumah mereka yang jauh di dalam kawasan kebun penduduk kampung.
Turut serta Exco Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak, Steve Lius dan Ketua Kaum, Amran Basir. – TVS