LAWAS, 1 Dis: Festival Cabaran Berakit Sungai Trusan bakal diangkat sebagai acara tahunan bagi mengisi kalendar pelancongan Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mencadangkan perkara itu berikutan festival berkenaan memiliki keunikan tersendiri serta meyakini kerajaan negeri akan menyokong inisiatif festival itu sebagai acara tahunan.
Program berkenaan menurut beliau dapat mengangkat dan mempromosi keunikan Sungai Trusan serta budaya masyarakat yang mendiami sepanjang sungai berkenaan.
Dalam pada itu, Awang Tengah berkata acara anjuran Persatuan Tagal (Okolod) ini juga mampu mempromosi budaya dan keindahan kawasan perkampungan Tagal di ulu Sungai Trusan.
“Saya akan mempastikan bahawa Festival Cabaran Berakit Sungai Trusan akan dijadikan sebagai acara tahunan dan dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri Sarawak.
“Saya akan berbincang dengan menteri yang (bertanggungjawab) menjaga pelancongan. Kita mempunyai sungai yang indah ini, Sungai Trusan dan kita bermula di sini.
“Yang penting kita tetapkan tarikhnya awal-awal lagi, bila kita hendak mengadakan tahun depan,” katanya ketika merasmi acara itu di Long Tengoa Ulu Trusan hari ini.
Dalam perkembangan lain, Awang Tengah turut menyeru agar masyarakat dan kaum di Lawas giat bergerak ke hadapan seiring dengan arus pembangunan.
Jelasnya, bimbingan masyarakat sekeliling penting dalam memperbetulkan sikap segolongan masyarakat yang tidak sependapat dengan kumpulan majoriti.
“Ini adalah hasrat kita untuk melihat setiap daripada individu dalam masyarakat kita di manapun mereka berada, siapapun mereka, apa pegangan agama mereka supaya kita sama-sama dapat membantu bagaimana nak mengangkat mereka.
“Kadang-kadang kita sedih juga melihat sudah berapa banyak program-program bantuan kita, ada yang masih ditahap itu sahaja. Semua ini bergantung pada sikap kita,” ujarnya.
Hadir sama Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abidin Dato Pengiran Jawa, Pengerusi Persatuan Tagal Okolod Sarawak, Walter Musa Angau dan tetamu lain. – TVS