MUKAH: Program Outreach Vaksinasi COVID-19 yang julung kalinya diadakan di bahagian Mukah mendapat sambutan yang memberangsangkan. selain dilihat berkesan mewujudkan kesedaran masyarakat terhadap pengambilan vaksin.
Sebanyak 15 buah rumah panjang di kawasan Ulu Baoh , Dalat melibatkan 200 suntikan pada Jumaat, sementara 280 suntikan telah diberikan hari ini membabitkan jumlah keseluruhan untuk tempoh dua hari sebanyak 480 suntikan vaksin.
Keceriaan juga terpancar pada wajah-wajah penerima antaranya Stephenson Changgai Ak Gindau dari Rumah Simu, Sg. Baoh Burak, Dalat.
“Pagi ini kami amat bertuah kerana KKM telah datang ke Rh. Simu di kawasan Baoh ini untuk memberi vaksin kepada kami. Terima kasih kepada Pejabat Daerah, Pejabat Residen dan frontliner kita. Terima kasih kepada vaksin ini, untuk jaga diri jaga semua. Dan sekali terima kasih KKM atas vaksin Sinovac kepada kami di kawasan rumah panjang ini.”
Menurut Penghulu Sebastian Ak Sintan beliau juga turut mendapat maklum balas positif dari tuai rumah atas inisiatif ini, dan mereka bersetuju membenarkan anak-anak buah mereka untuk turut divaksin.
Dalam pada itu Residen Bahagian Mukah Hamdiah Haji Bakir berkata, usaha ini mampu mencapai imuniti kelompok setelah melihat keupayaan keberkesanan program outreach dikawasan tersebut.
“Dan kebanyakannya mereka memang bersetuju untuk divaksin pada pagi ini. Dan kita mengucapkan terima kasih kepada Penghulu, Pegawai Daerah dan serta Pejabat Kesihatan atas inisiatif ini. Terima kasih kepada penduduk kerana mereka sudah faham dan menerima untuk divaksin.” kata Hamdiah ketika ditemui pada Program Outreach Vaksinasi COVID-19 di Ulu Baoh, Dalat.