KUCHING, 30 Nov: Dua bilah parang Orang Ulu yang dibawa ke England ketika era pemerintahan Brooke kini dipamerkan di Muzium Budaya Borneo.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata parang berkenaan diperoleh Duncan Shimwell McDougal, seorang pegawai berkhidmat di Sarawak pada tahun 1920.
McDougal telah membawa parang-parang tersebut ke England sehingga ia dibida pada 1994 di Christie’s Auction House.
“Kedua-dua bilah dibeli oleh seorang warga Pulau Pinang, Lim Jit Boo yang mendermakan objek tersebut kepada Jabatan Muzium Sarawak. Ia telah diterima pada 28 Julai 2023,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat bersama Majlis Warisan Sarawak di sini, hari ini.
Turut diserahkan kepada muzium ialah sebidang kain Pua Kumbu Iban koleksi pengumpul dari Australia, 19 objek-objek yang digunakan ketika ritual Bidayuh suatu ketika dahulu dan gambar-gambar lama Sarawak pada awal abad ke-19.
Menurutnya lagi, Jabatan Muzium Sarawak menerima 41 objek sumbangan daripada pelbagai sumber untuk dipamerkan sebagai khazanah Borneo.
Beliau percaya penyerahan bahan-bahan lama adalah susulan reputasi Jabatan Muzium Sarawak yang sangat baik dalam penjagaan koleksi. – TVS