SAMARAHAN, 29 Nov: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) kini menuju ke arah kampus pintar selaras dengan inisiatif kampus rendah karbon menjelang tahun 2030.
Menurut Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi, universiti itu kini bekerjasama dengan peneraju global dalam penyelesaian kecerdasan buatan (AI) dan bandar pintar, sebagai penggerak dalam menangani cabaran alam sekitar.
Jelasnya, agenda tersebut juga mengangkat UNIMAS sebagai universiti awam pertama dalam negara mengorak langkah ke arah aspirasi teknologi hijau berkenaan.
“Perkara perkara yang akan dilihat dalam kerjasama ini adalah berkaitan dengan kampus rendah karbon, berkaitan dengan tenaga yang boleh diperbaharui, kampus pintar dan jugak bandar pintar ianya menjurus kepada apa yang kita panggilan sebagai matlamat pembangunan mampan.
“UNIMAS adalah antara universiti terawal melaksanakan peta jalan kampus karbon rendah dan pelan induk kelestarian,” katanya ketika berucap semasa majlis menandatangani memorandum perjanjian antara UNIMAS dan Kiwitech Sdn Bhd di The Gallery, Detar Putra UNIMAS pada Rabu.
Tambah Kadim, pihak universiti memandang serius agenda tersebut untuk menjulang nama UNIMAS dan Sarawak dipersada dunia.
“Kita mahu mengembangkan lagi perkara yang sangat dekat dengan kita, kerana salah satu perkara yang kita inginkan dari sebuah universiti adalah aspek kelestarian ini,” jelasnya.
Dalam pada itu katanya sokongan dan kerjasama daripada pemain industri lain amat penting bagi memastikan kejayaan inisiatif ini.
Untuk rekod, UNIMAS turut menjalinkan kerjasama dengan Bintulu Development Authority (BDA) untuk membangunkan konsep bandar rendah karbon secara berperingkat. -TVS