Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas. Foto:TVS

DUN: RUU tubuhkan Lembaga Pelabuhan Sarawak siap Mei 2024, bentang pada DUN akan datang

ByMuqri Aziz

KUCHING, 29 Nov: Rangka Rang Undang-Undang (RUU) baharu untuk menubuhkan Lembaga Pelabuhan Sarawak (Sarawak Ports Authority) dijangka siap menjelang Mei 2024.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata RUU yang diinisiatifkan Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD) dan Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak itu bakal dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang akan datang.

Menurutnya sehingga kini, Sarawak mempunyai lima lembaga pelabuhan iaitu Kuching, Rajang, Miri, Tanjung Manis dan Samalaju.

“Kerajaan Sarawak kini sedang mengkaji keperluan untuk menyatukan mereka menjadi satu entiti dan entiti tunggal ini akan mengawal selia, memperkemas dan menyelaras pengurusan, operasi, perancangan dan pembangunan semua pelabuhan di Sarawak.

“Objektifnya adalah untuk meningkatkan kecekapan pelabuhan Sarawak dalam memastikan setiap pelabuhan memainkan peranan khusus dalam mempromosikan perdagangan dan pembangunan ekonomi,” katanya ketika penggulungan pada persidangan hari ke-8 DUN Sarawak di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak turut berkata sehingga suku ketiga 2023, Pelabuhan Sarawak telah mencatatkan jumlah daya pengeluaran sebanyak 15.65 juta tan, menurun 9.7 peratus berbanding 17.33 juta tan yang dikendalikan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Menurutnya lagi, penurunan pengeluaran kargo yang dikendalikan oleh semua Pelabuhan Sarawak juga telah dialami di banyak pelabuhan di seluruh dunia dan kementerinnya akan terus memantau prestasi pelabuhan-pelabuhan itu dengan teliti agar dapat bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan akan datang.

Mengulas mengenai pengambilalihan Pelabuhan Bintulu, beliau berkata Kerajaan Sarawak, dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan telah membincangkan mekanisme penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Bersama Persekutuan-Negeri pertama yang diadakan di Putrajaya pada 22 November 2023.

“Syarat-syarat penyerahan akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Bersama yang dijadualkan pada Disember 2023 dan jawatankuasa itu juga akan memuktamadkan pelan tindakan bersama untuk memudahkan peralihan penyerahan yang lancar.

“Sehubungan itu, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas persetujuan beliau untuk menyerahkan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak semasa ucapan Belanjawan 2024 beliau baru-baru ini,” katanya lagi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan