KUCHING, 29 Nov: Hasil Sarawak meningkat ketara selepas pengenalan cukai jualan negeri ke atas keluaran petroleum bermula tahun 2019 dengan keluaran petroleum telah menyumbang sejumlah RM14.7 billion sejak pengenalan sehingga Oktober 2023.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mendedahkan peningkatan itu menyaksikan cukai jualan negeri adalah dengan kutipan purata kira-kira RM3.5 bilion setahun.
Sehubungan itu, Kerajaan Sarawak terus komited dalam memperbaiki kedudukan fiskalnya sambil menyokong momentum pertumbuhan dan meningkatkan kapasiti kewangan jangka panjang dan kemampanan negeri.
“Aliran hasil ini telah menjadi salah satu penjana hasil utama kerana ia menyumbang kira-kira 33 peratus kepada hasil keseluruhan negeri.
“Kita telah menyaksikan DUN Sarawak telah meluluskan RUU Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau) 2023 dan RUU baharu ini akan membuka peluang kepada Sarawak untuk memanfaatkan sumber pendapatan baharu yang akhirnya akan meningkatkan fleksibiliti fiskal kita dalam mengurus agenda pembangunan ekonomi, termasuk inisiatif perubahan iklim,” katanya.
Beliau berkata demikiandalam sesi penggulungan pada Persidangan hari ke-8 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Uggah yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru Kedua Sarawak turut berkata kementeriannya akan terus mengukuhkan pentadbiran hasil Sarawak, memfokuskan dan mengurus secara berkesan dalam bidang yang boleh memudahkan penjanaan dan kutipan hasil dengan memanfaatkan pendigitalan, menguatkuasakan pematuhan yang lebih besar terhadap kutipan hasil, mengurangkan ketirisan hasil, dan mempromosikan budaya yang kukuh akauntabiliti dan ketelusan dalam kewangan awam.
Dalam pada itu, menurut Uggah Kerajaan Sarawak akan terus menerapkan kecemerlangan kewangan dan akauntabiliti dalam pengurusan sumber kewangan negeri.
“Kerajaan Sarawak, dengan kerjasama Bank Dunia sedang menjalankan inisiatif untuk mengkaji semula rangka kerja pengawalseliaan dan pemantauan Badan Berkanun dan Syarikat Berkaitan Kerajaan sedia ada.
“Usaha kerjasama Kerajaan Sarawak dan Bank Dunia dalam mengubah dinamik operasi Syarikat Berkenaan Kerajaan (SOE) menandakan satu lagi kejayaan dalam tadbir urus korporat dan pengawasan strategik,” ujarnya.
Katanya lagi, inisiatif yang dilaksanakan bukan sekadar mempertingkatkan amalan semasa tetapi juga menjurus ke arah membina SOE yang sedia masa hadapan, telus dan bertanggungjawab yang boleh memenuhi tanggungjawab mereka dengan berkesan dan menyumbang kepada matlamat sosio-ekonomi Sarawak yang lebih luas. – TVS