KUCHING, 29 Nov: Walaupun berlakunya penurunan nilai eksport produk perkayuan sebanyak 23 peratus kepada RM2.3 bilion sehingga tempoh suku ketiga 2023, Jepun masih merupakan pengimport utama bagi produk perkayuan khususnya papan lapis.
Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, hasil daripada itu, Sarawak telah menerima nilai keseluruhan eksport sebanyak RM1.2 bilion atau 52 peratus dengan eksport produk perkayuan masih lagi tertumpu kepada eksport produk utama.
“Pasaran utama lain adalah India sebanyak RM381 juta, negara-negara Timur Tengah sebanyak RM189 juta, Taiwan sebanyak RM121 juta dan China sebanyak RM104 juta.
“Justeru itu, pemain industri perkayuan disyorkan untuk lebih komited melaksanakan transformasi aktiviti dan operasi mereka ke arah pengeluaran produk kayu nilai tambah tinggi dengan menggunakan lebih banyak bahan-bahan mentah dari ladang hutan dan buluh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Untuk tujuan itu, beliau berkata, kerajaan akan meneruskan industri hiliran antaranya industri biojisim, industri perabot, industri berasaskan buluh dan kayu kejuruteraan.
Awang Tengah turut berkata, produk biojisim seperti kayu pelet, biochar dan arang briket mempunyai permintaan tinggi di pasaran global kerana ia merupakan bahan bakar yang lebih mesra alam berbanding bahan bakar fosil.
“Sehingga suku ketiga tahun ini, Sarawak telah mengeksport produk kayu pelet ke Jepun, Perancis dan Korea bernilai RM36 juta.
“Di samping itu, produk ini juga mempunyai potensi yang besar untuk penjanaan tenaga hijau di Sarawak selari dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk memperkasakan Dasar Tenaga Hijau Sarawak.
“Seiring dengan aspirasi untuk meningkatkan produk kayu nilai tambah tinggi, PUSAKA sedang menyiapkan Engineered Wood Product Blueprint bagi menyediakan garis panduan dan hala tuju pembangunan industri kayu kejuruteraan di Sarawak,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Awang Tengah optimis pembangunan industri tersebut dijangka akan menjadi game changer untuk mencapai produk nilai tambah tinggi serta mengoptima penggunaan sumber bahan mentah dari ladang hutan. – TVS