KUCHING, 29 Nov: Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Hutan Sarawak (JHS) telah menanam sebanyak 29,295,498 pokok dan menjadikan ia sebagai rekod penananam yang tertinggi di Malaysia setakat 31 Oktober 2023.
Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ia adalah sebagai satu komitmen kepada program Penghijauan Malaysia yang menyasarkan untuk menanam 100 juta pokok dalam tempoh lima tahun.
“Jabatan Hutan Sarawak komited untuk menanam 35 juta pokok melalui Greening Sarawak Campaign.
“Di samping itu juga, satu program khas yang dianjurkan oleh Jabatan Hutan Sarawak iaitu Le Tour de Restoration 2.0 telah diadakan dengan menanam sebanyak 60 pokok belian di setiap Bahagian di Sarawak sebagai simbolik Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Beliau berkata, ia turut memberi peluang kepada generasi muda untuk mengenali pokok warisan Sarawak dengan lebih dekat memandangkan habitat asal pokok ini jauh di pedalaman.
“Kerajaan juga mensasarkan untuk mencalonkan Sarawak Delta Geopark (SDGp) sebagai UNESCO Global Geopark (UGGp) pada tahun 2024 dan dijangka diiktiraf menjelang tahun 2026 dan telah menggariskan sebuah roadmap yang komprehensif bagi mencapai tujuan itu.
“Bukan itu sahaja, keputusan pengiktirafan Taman Negara Niah setelah dicalonkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO akan diputuskan pada pertengahan tahun 2024,” ujarnya.
Katanya, kedua-dua pengiktirafan itu akan meningkatkan imej Sarawak di peringkat antarabangsa dalam pemeliharaan dan pemuliharaan biodiversiti serta meningkatkan sektor ekopelancongan di Sarawak. – TVS