KUALA LUMPUR, 28 Nov: Kuching City FC yang akan beraksi pada final pertama Piala Cabaran MFL 2023 esok malam berazam mahu mencipta sejarah muncul sebagai pasukan pertama di Malaysia menjulang piala berkenaan.
Ketua pasukannya, Mohamad Alif Hassan berkata, perkara itu tidak mustahil memandangkan skuad The Cat telah menunjukkan peningkatan permainan di bawah ketua jurulatih baharu, Aidil Shahrin Sahak.
Apa kau lakukan wahai Kamara – Irfan Bakti
Kata pemain tengah berasal dari Limbang, Sarawak itu, persiapan pasukan menjelang final pertama di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) setakat ini berjalan lancar.
“Semua pemain menunjukkan semangat dan teruja untuk turun beraksi.
“Ini merupakan final, jadi tiada istilah bertahan, kami akan bermain habis – habisan,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Dalam laluan ke final, Kuching City FC menewaskan Kedah Darul Aman FC dengan agrerat 4-0 dan menyingkirkan Kelantan United menerusi agregat 3-1 di separuh akhir.

Lawan mereka, PDRM FC pula mara selepas membenam cabaran KL Rovers dengan agregat 5-2 serta mengenepikan Penang FC dengan keputusan 4-1.
Sementara itu, Mohamad Alif berkata, mereka sudah tahu apa yang ‘perlu dilakukan’ ketika bertandang ke Stadium MBPJ yang merupakan kubu kuat lawan.
“Mereka (PDRM FC) mengamalkan corak permainan pantas dan (apabila) dapat bola terus hantar kepada target man.
“Kami perlu berhati – hati kerana mereka miliki permain yang berkualiti ketika bertahan dan menyerang,” katanya.
Final kedua akan berlangsung di Stadium Negeri Sarawak pada 3 Disember depan sekali gus menjawab teka-teki pasukan mana yang akan keluar sebagai pemenang.
Untuk rekod, kedua-dua pasukan bertemu sebanyak dua kali musim ini pada kancah Liga Super dengan PDRM menang 1-0 di Kuching dan seri 1-1 di Stadium MBPJ. -TVS