KUCHING, 28 Nov: Sarawak belum memutuskan untuk menurunkan kadar had umur belia kepada 30 tahun.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sarawak mempunyai dasarnya yang tersendiri dalam menentukan had umur belia.
“Dalam SABERKAS kita menggunakan kaedah hibrid untuk menentukan penurunan had umur belia.
“Jawatankuasa SABERKAS baik di peringkat pusat mahupun di peringkat cawangan adalah 70 peratus mengikut peringkat umur 18-40 tahun manakala 30 peratus kita benarkan lebih daripada 40 tahun bagi membimbing para belia yang lebih muda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Tambah Karim, ada pelbagai faktor yang menyebabkan pihaknya tidak mahu menurunkan had peringkat umur antaranya adalah berikutan kurang pengalaman dalam tatakelola dalam mengendalikan hal kewangan.
“Saya mengaku kebanyakan belia zaman sekarang bersifat profesional dan kita juga mula mencalonkan mereka sebagai calon untuk pilihan raya. Sebab itu, itu sekarang semasa pilihan raya ramai calon kini di bawah had umur 30.
“Jadi berkenaan dengan cadangan yang dibuat oleh pusat untuk menurunkan had umur 30 kita baharu sahaja menurunkan daripada umur 45 ke 40. Bagi kita sedikit masa. Kita baru sahaja menurunkan had umur dari 45 kepada 40,” ujarnya.
Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, kerajaan telah menetapkan tarikh kuat kuasa bagi Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 [Akta A1602] pada 1 Jan 2026.
Antara justifikasi penurunan had umur berkenaan sejajar dengan Dasar Belia Malaysia dan takrifan umur belia di negara lain yang meletakkan had umur belia di bawah 30 tahun.
Sebagai contoh, penetapan had umur belia di Indonesia 16-30 tahun, Filipina 15-30 tahun, Thailand 15-24 tahun, Korea 9-24 tahun, Australia 12-24 tahun. -TVS