KUCHING, 28 Nov: Kira-kira 16,000 atlet dan pegawai dijangka terlibat dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos 2024.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sebanyak 37 sukan dengan jumlah 489 acara telah dikenal pasti.
“Sukan ini akan dipertandingkan di sembilan bahagian iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri,” katanya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Sementara itu, Abdul Karim turut menyasarkan lebih kurang 20, 000 pengunjung bakal datang ke negeri ini bagi menyaksikan SUKMA kali ini.
“Sebab itu, supaya adil dengan semua bahagian, kita pecahkan banyak kepada Sembilan bahagian hotel-hotel di tempat lain yang membuka kedai-kedai makan , gerai dan sebagainya yang menjual hasil kraf di tempat-tempat lain semuanya akan dapat manfaatnya,” katanya.
Justeru itu beliau optimis SUKMA 2024 secara tidak langsung akan membantu menjana ekonomi negeri ini.
Dalam pada itu, beliau meramalkan bahawa penganjuran SUKMA Sarawak ke-21 2024 adalah sesuatu yang besar, dan kementeriannya telah membuat rancangan yang komprehensif untuk menangani isu dan cabaran yang berpotensi yang telah dikenalpasti.
Selain menaik taraf kemudahan SUKMA , jumlah pembiayan terjamin sebanyak RM53.45 juta telah diperuntukkan khusus kepada SSC dan MSNS untuk Persediaan SUKMA ke-21 dari segi Latihan dan pendedahan atlet, sukan peralatan dan pertandingan dan pengurusan teknikal. -TVS