Kuching, 28 Nov :- Majlis Seni Sarawak (MSS) bercadang untuk menubuhkan Akademi Seni Sarawak serta membangunkan Pusat Seni Persembahan Sarawak.
Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata MSS telah menjalankan dua sesi ‘brainstorming’ dan program ‘benchmarking’ di Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dan ASWARA Kuala Lumpur dalam merealisasikan akademi tersebut.
Selain itu. Abdul Karim berkata pihak MSS juga telah menjalankan sejumlah 180 program dan aktiviti yang merangkumi pembangunan seni dan latihan di seluruh Sarawak pada tahun 2023.
“Ia termasuk Acara Tonggak seperti Perayaan Kemerdekaan Sarawak 60 tahun, Persembahan Budaya di Acara Perarakan, dan KONSERT RAKYAT di Padang Merdeka Kuching; Hari Keputeraan YDP Agong peringkat Sarawak dan lain-lain,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Tambahnya lagi, program-program tahunan MSS seperti MSS Open Day 2023, Dialog Seni 2023, Festival Tari dan Lagu Asli (FTLA), Ngelakar Seni, Rindok Hati, dan Festival Kesenian Sarawak 2023 turut diadakan.
Abdul Karim juga menambah dalam usaha meningkatkan sektor pelancongan, industri kreatif, dan seni persembahan di Sarawak, MSS juga menyediakan geran sokongan – MySeni Grant kepada pelbagai komuniti di seluruh Sarawak, dengan tujuan untuk inovasi dan kelestarian seni.
“Tahun ini, MSS telah menerima sebanyak 80 permohonan dari seluruh Sarawak telah diterima dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM2,375,350.84.
“Daripada jumlah permohonan tersebut, sebanyak 40 pemohon telah diluluskan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1 juta untuk menganjurkan program mereka di seluruh Sarawak.”-TVS