KUCHING, 28 Nov: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) komited menyokong industri pelancongan negeri ini dengan melaksanakan Pakej Insentif Pengunjung dan Dana Ekosistem Pelancongan Dalam Talian Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata inisiatif berkenaan dalam usaha meningkatkan serta mengekalkan sektor pelancongan.
Menurutnya, inisiatif itu telah dirancang untuk memberi sokongan, mendorong dan mempercepatkan pemulihan sektor pelancongan dan juga meningkatkan keyakinan industri serta menggalakkan pemasaran dan promosi produk dan perkhidmatan mereka.
“Bermula Januari hingga September 2023, STB mengeluarkan sejumlah RM75,150 kepada 298 ejen pelancongan Sarawak.
“Ia membawa masuk seramai 2,620 ketibaan pelawat dari Singapura, Indonesia, Taiwan, Korea, Jepun, China, Filipina, Myanmar, Itali, Belanda, Amerika Syarikat, Jerman, Perancis, United Kingdom dan pasaran domestik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memyampaikan ucapan penggulungan di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN), di sini, hari ini.
Abdul Karim menjelaskan Dana Ekosistem Pelancongan Dalam Talian Sarawak merupakan program pemangkin untuk memperluaskan jejak Digital Pelancongan Sarawak dengan memberi insentif kepada pemain industri untuk pembangunan dan penyelenggaraan laman web, penyediaan isi kandungan dan pengiklanan digital yang bertumpukan pelancongan Sarawak.
Menurutnya sejak 2020 hingga 2022 sebanyak 154 permohonan yang berjaya telah menghasilkan kira-kira RM770,000 melalui Dana Ekosistem Pelancongan Sarawak.
“Untuk 2023, terdapat 49 permohonan yang berjaya terdiri daripada 17 pengusaha pelancongan, lapan hotel, enam kraf tangan, dan 18 inap desa untuk STOEF berjumlah RM250,000,” ujarnya. -TVS