KUCHING, 28 Nov:Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal menyajikan sebanyak 277 program dalam pelbagai skala pada tahun hadapan khas untuk rakyat Sarawak.
Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, antara program tersebut adalah Konsert EVO70 yang diadakan sempena Sambutan Jubli Platinum : Evolusi 70 tahun Radio Sarawak.
Menurutnya tidak ketinggalan program ikonik Sarawak iaitu Bintang P. Ramlee dan Bintang Kecil turut diteruskan dengan penyertaannya tidak terhad kepada perserta dari Malysia malah melibatkan perserta dari Indonesia, Singapura dan Brunei Darussalam.
“Tahun depan, RTM Sarawak pun akan terlibat dengan penganjuran program Mukun SeBorneo 2024 yang melibatkan juga penyertaan Brunei dan Indonesia.
“Ini bagi saya adalah salah satu daripada platform terbaik untuk memperluas pasaran pengiklanan ke luar negara dalam masa yang sama, dapat mengukuhkan hubungan bait serta mewujudkan elemen kesatuan dalam kesenian dengan penuh semangat,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi A Night To Remember di sini pada Isnin.
Sementara itu, majlis tersebut turut meraikan rakan strategik RTM Sarawak yang menyokong serta terlibat menjayakan program terbitan stesen terbabit sepanjang tahun 2022 dan 2023.
Dalam pada itu, menurut Suhaimi dengan sokongan rakan strategik tersebut, RTM Sarawak menjadi stesen negeri yang merekodkan pendapatan tertinggi berjumlah RM632,751 setakat Oktober lalu.
Majlis itu menyaksikan seramai 82 penerima menerima sijil penghargaan rakan strategik manakala lima penerima lagi menerima anugerah khas Rakan Strategik RTM. -TVS