KUCHING, 27 Nov: Cadangan untuk menaik taraf Mahkamah Bumiputera akan diusulkan untuk dibentang pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, pada Mei 2024.
Menteri di Jabatan Premier, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, berdasarkan cadangan dalam Pelan Induk, Mahkamah Bumiputera semasa yang di bawah Jabatan Premier akan disusun semula sebagai sebuah badan kehakiman sepenuhnya yang bebas dan berautonomi.
“Fungsi, kuasa dan bidang kuasa Mahkamah Bumiputera baharu akan dinyatakan dalam Rang Undang-undang Mahkamah Bumiputera baharu yang akan dibentangkan pada sidang Dewan (DUN).
“Pada masa ini, sasaran kami adalah untuk membentangkan Rang Undang-undang Mahkamah Bumiputera Baharu pada persidangan akan datang,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Beliau mendedahkan Pelan Induk untuk penstrukturan semula dan naik taraf Mahkamah Bumiputera Sarawak telah dibuat dan diluluskan oleh Kerajaan baru-baru ini.
Perubahan Mahkamah Bumiputera menurutnya akan melibatkan penstrukturan semula hierarki dan struktur organisasi sistem mahkamah asli semasa dari enam lapisan kepada empat lapisan yang terdiri daripada Mahkamah Majistret Bumiputera dan Mahkamah Tinggi Bumiputera.
“Untuk perubahan ini dilaksanakan, Kerajaan melalui Pelan Induk disyorkan untuk memansuhkan Native Courts Ordinance 1992 and Native Courts Rules 1993, serta menggubal Native Courts Ordinance dan Undang-Undang Mahkamah Bumiputera yang baharu,” katanya. – TVS