KUCHING, 27 Nov:Pusat Kepelbagaian Biologi Sarawak (SBC) kini sedang mengkaji tanaman keladi yang dipercayai berpotensi untuk merawat penyakit neurodegeneratif.
Menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, tanaman kontan itu dikatakan berfungsi dalam rawatan penyakit Parkinson dan Alzheimer.
“Walaupun keladi sering dianggap tidak berguna, ia kini terbukti mempunyai khasiat yang boleh membantu pesakit Parkinson dan Alzheimer.
“Hasil kajian yang dijalankan oleh pihak SBC menunjukkan tindak balas yang positif terhadap sebatian ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selepas sesi penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Sarawak akan memperuntukkan sejumlah RM343 juta kepada Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat bagi menambah baik program yang akan dijalankan pada tahun 2024.
Tambahnya, peruntukan tersebut telah diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg semasa pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan (2024), 2023 pada 20 November lepas.
“Kementerian kita mempunyai banyak pencapaian melalui program termasuk menguruskan program penyelidikan daripada Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC).
“Kini kerajaan Sarawak sedang berusaha membangunkan Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak dan Pusat Sains yang dilihat semakin pesat membangun di kawasan Samarahan,” ujarnya. -TVS