KUCHING, 27 Nov: Penggunaan air domestik di Sarawak antara yang tertinggi dengan 26,880 liter setiap isi rumah sebulan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, penggunaan air domestik secara puratanya adalah sebanyak 224 liter sehari berbanding cadangan jumlah penggunaan air oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) bagi seorang sebanyak 165 liter sehari atau 19,800 liter setiap isi rumah sebulan.
“Jumlah permintaan air semasa di Sarawak adalah 2,000 liter sehari (JLH) dan unjuran permintaan air pada tahun 2030 adalah dianggarkan sebanyak 2,400 JLH.
“Oleh yang demikian, kementerian saya melalui agensi air yang berkaitan akan melaksanakan surcaj bagi penggunaan air domestik melebihi 35,000 liter setiap isi rumah sebulan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Jelasnya, surcaj tidak akan dikenakan terhadap penggunaan air 35,000 liter setiap isi rumah sebulan dan ke bawah.
Dalam pada itu, Julaihi juga memberitahu isu utama yang menjejaskan bekalan air di Sarawak adalah Air Tidak Terhasil (NRW) yang tinggi atau kehilangan air semasa pengagihan kepada pengguna
Sehingga suku ketiga 2023, katanya, purata NRW untuk keseluruhan Sarawak adalah tinggi iaitu 43 peratus.
“Sepanjang 2,742 kilometer saluran paip air lama serta uzur pelbagai saiz masih digunakan dalam sistem agihan bekalan air di seluruh Sarawak.
“Ini adalah antara punca utama yang menyebabkan kadar NRW yang tinggi kerana saluran paip lama ini mudah pecah menyebabkan tekanan air rendah atau terputus bekalan sehingga menyebabkan gangguan bekalan air,” katanya.
Justeru, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM1.085 bilion bagi menaik taraf dan mengganti saluran paip air lama tersebut secara berfasa bermula 2024.
NRW juga berpunca daripada kebocoran paip, kecurian air dan meter air tidak berfungsi.-TVS