LIMBANG, 27 Nov: Sikap saling hormat-menghormati pelbagai kaum di Sarawak merupakan kunci kepada perpaduan dan kesefahaman yang dinikmati rakyat di negeri ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah berkata, Sarawak mempunyai pelbagai kaum yang berlainan agama, kepercayaan dan budaya yang hidup harmoni sejak dulu lagi.
Katanya lagi, setiap kaum saling hormat-menghormati dan bantu-membantu antara satu sama lain yang menjadi kekuatan dan terus diamalkan di negeri ini.
“Kita di Malaysia ini dan di Sarawak ini khususnya adalah sebuah negara majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum, adat resam, agama dan pegangan masing- masing. Kita bersyukur kepada Tuhan semuanya berjalan dengan baik kerana semuanya hidup saling hormat-menghormati.
“Amalan menindas juga tidak patut diamalkan. Namun, amalan hormat-menghormati menjadi kunci kita dapat hidup bersama selama ini termasuk bantu-membantu, tolong-menolong dan sebagainya,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Bazar Krismas 2023 Medamit malam tadi.
Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang mahu amalan hormat-menghormati dan saling bantu-membantu antara berlainan kaum dan agama ini terus dikekalkan dan dipelihara.
“Jadi budaya ini harus dikekalkan di negara kita di Sarawak ini selama 60 tahun merdeka. Rakyat kita selama ini hidup aman makmur dan ini adalah hasil daripada kehidupan yang hormat-menghormati mempunyai persefahaman dan hubungan yang baik,” katanya lagi.
Mengulas mengenai Program Bazar Krismas katanya, ia turut dirai bukan saja masyarakat beragama Kristian malah masyarakat berlainan agama.
Katanya, setiap majlis perayaan yang diraikan di Sarawak, bukan saja diraikan oleh kaum-kaum tertentu tetapi dirai suku kaum lain yang ada.
“Kita di Sarawak ini khususnya hidup dengan penuh harmoni dan kita dapat meraikan majlis perayaan kita masing- masing dengan penuh harmoni.
“Yang meraikan dan meramaikan majlis kita pun bukan hanya suku kaum tertentu itu saja malahan ia diraikan bersama oleh suku-suku kaum yang ada di tempat kita,” katanya. – TVS