LUBOK ANTU, 26 Nov: Hampir 1,000 peserta menyertai Larian LAPD Fun Run 1.0 anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu hari ini.
Ketua Polis Daerah Lubok Antu, Deputi Superintendan (DSP) Victor Ripon berkata, penganjuran program bertujuan untuk mempromosikan aktiviti larian dan meningkatkan tahap kecergasan masyarakat setempat.
Kata beliau, secara keseluruhan larian itu menghimpunkan seramai 990 peserta bermula pukul 6.30 pagi tadi.
“Seramai 230 orang mengambil bahagian dalam kategori enam kilometer (km) manakala 760 peserta mendaftarkan diri dalam kategori tiga km,” katanya di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi.
Victor berkata, LAPD juga berjaya mencapai objektifnya untuk menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum dan agama sekali gus mengeratkan hubungan penduduk setempat dengan warga IPD Lubok Antu.
“Selain itu juga, program ini juga berjaya mengumpul dana untuk Kelab IPD Lubok Antu,” katanya.
Selain penduduk setempat, acara itu turut disertai pelari dari Sri Aman dan Betong.
Berdasarkan sambutan menggalakkan, Victor berkata, pihaknya merancang untuk menjadikan larian itu sebagai acara tahunan. -TVS