Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Utiliti), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata antara punca permohonan bantuan tersebut ditolak adalah kerana struktur kediaman yang tidak lengkap. Foto: TVS

DUN: Permohonan ALAF khusus untuk kediaman lengkap sahaja

ByNur Suhaida Muliyono

KUCHING, 24 Nov: Permohonan ‘Additional and Late Applicant Fund’ (ALAF) yang merupakan inisiatif bantuan dalam pembekalan elektrik di seluruh Sarawak, hanya tertakluk kepada kediaman yang telah lengkap.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi mendedahkan struktur kediaman yang tidak lengkap menjadi punca kepada permohonan bantuan tersebut ditolak.

“Sebahagian daripada permohonan ini kadang-kadang ditolak kerana struktur rumah tersebut tidak lengkap, kadang-kadang tiang sahaja ataupun hanya struktur asas rumah sahaja. Tidak ada pintu, tidak ada tingkap, jadi permohonan tersebut ditolak,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Dr Abdul Rahman justeru itu menasihatian agar para pemilik rumah yang terlibat untuk mengemukakan permohonan ALAF kepada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi melalui Pejabat Daerah di kawasan masing-masing.

“Setiap permohonan mestilah mendapat pengesahan daripada wakil rakyat sama ada ADUN ataupun Ahli Parlimen di kawasan masing-masing,” jelasnya.

Sementara itu, beliau memberitahu bagi kawasan DUN Opar, sebanyak 48 buah kampung dengan jumlah isi rumah seramai 706 orang telah menikmati bekalan elektrik di bawah projek ALAF sejak tahun 2020.

Selain itu, katanya lima buah kampung lagi yang merangkumi 161 isi rumah sedang dalam pelaksanaan pada masa ini, dan dijangka siap sepenuhnya pada suku kedua tahun hadapan.

Jelas Dr Abdul Rahman lagi, antara langkah yang telah diambil Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak bersama agensi pelaksana, Sarawak Energy Berhad (SEB) bagi mempercepatkan pelaksanaan projek-projek ALAF termasuklah menambah bilangan kontraktor dan juruperunding, menambah bilangan tenaga mahir dalam kerja-kerja pendawaian dan pemasangan elektrik dan menyediakan pakej yang lebih besar bagi meningkatkan keuntungan.

“Seterusnya, melaksanakan projek berdasarkan konsep first come first serve dan membuat semakan semula kepada kos projek agar ia selaras dengan kenaikan harga bahan-bahan binaan di pasaran,” ujarnya.

ALAF diwujudkan bagi memastikan bahawa semua rumah yang terdapat di Sarawak khasnya di kawasan luar bandar dan pedalaman mendapat bekalan elektrik, ditumpukan kepada rumah-rumah yang baru dibina dan rumah-rumah yang tertinggal semasa projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dilaksanakan suatu ketika dahulu di kawasan tersebut. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan